KENINGAU: Kebakaran sebuah rumah dua tingkat dan stor di Kampung Mottou, belakang Kolej Geomatika, di sini petang tadi mencetuskan kepulan asap tebal yang menyelubungi kawasan kejadian.
Kejadian itu turut mencemaskan penduduk sekitar yang menyedari asap tebal mula memenuhi ruang udara sebelum anggota bomba tiba di lokasi kira-kira tiga minit selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 2.42 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, seramai 17 anggota bersama tiga jentera termasuk water tanker digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak dua kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan rumah jenis separuh kekal dua tingkat dan sebuah stor.
“Pasukan bomba bertindak membuat pemadaman menggunakan empat pancutan dan dua aliran air, dengan sumber air dari jentera serta pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba berjaya menghalang api daripada merebak dan menyelamatkan tiga struktur bangunan dan sebuah bas milik Kolej Geomatika yang berada berhampiran lokasi kebakaran.
“Api berjaya dikawal pada jam 3.38 petang dan tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini. Operasi pemadaman bara-bara api masih diteruskan.
“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X