KOTA KINABALU: lebih 50 penunggang perkhidmatan p-hailling menyertai Kempen Keselamatan Kunci Kedua Motosikal yang dianjurkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama beberapa agensi lain, di sini, hari ini.
Program sempena inisiatif kepolisan komuniti itu turut mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan dilaksanakan di pekarangan letak kenderaan, Pasar Foh Sang, Luyang, sebagai lokasi permulaan kempen.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kunci kedua motosikal sebagai langkah pencegahan awal terhadap kes kecurian yang semakin membimbangkan.

Katanya, motosikal menjadi sasaran utama penjenayah kerana mudah dicuri, selain berpotensi dileraikan untuk dijual sebagai alat ganti.
“Kecurian ini turut memberi kesan besar kepada golongan berpendapatan rendah, khususnya penghantar makanan bermotosikal yang bergantung sepenuhnya kepada motosikal sebagai punca rezeki.
“Melalui kempen ini, kita edarkan kunci tambahan kepada penunggang motosikal terpilih sebagai simbolik kesedaran pencegahan awal.
“Kita juga akan memperluaskan kempen ini ke beberapa lokasi lain dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui media selepas Program Kepolisan Komuniti-Kempen Keselamatan Kunci Kedua Motosikal di kawasan letak kenderaan Pasar Foh Sang, Luyang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Sektor Perancangan dan Pembangunan DBKK, Datuk SR Lifred Wong.
Menurutnya, pihaknya juga bercadang memperkenalkan program keselamatan di kawasan perumahan, termasuk cadangan pemasangan alat keselamatan di pintu belakang rumah, bagi mengelakkan kejadian pecah masuk.
Katanya, cadangan lorong khas motosikal turut dibincangkan bersama agensi berkaitan, termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), khususnya di kawasan bandar yang mempunyai kepadatan trafik tinggi dan ramai penunggang penghantar makanan.
“Kita juga berhasrat untuk memperkenalkan bangunan parkir khusus di daerah Luyang dan lokasi lain pada masa akan datang, dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan serta pihak berkaitan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan mengamalkan sikap bertanggungjawab di jalan raya, termasuk mematuhi undang-undang demi keselamatan bersama. – Info X