Search

Mustapha kesal Ahli Parlimen kaitkan isterinya dalam kes kematian Zara Qairina

July 30, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud mempertahankan isterinya selepas dikaitkan dengan kes kematian pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar.

Menerusi satu kenyataan, di sini, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan rasa kesalnya apabila isterinya, Datin Rosnih Nasir cuba dikaitkan oleh beberapa Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) dalam kes itu pada persidangan Dewan Rakyat.

Katanya, tuduhan oleh Ahli Parlimen pembangkang itu adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan akhlak sebagai seorang Muslim.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang dakwaan atau tuduhan yang cuba mengaitkan isteri saya secara langsung ataupun tidak langsung dengan insiden tragik melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, seperti yang dibangkitkan Ahli Parlimen Indera Mahkota di dalam perbahasannya.

“Tuduhan yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu untuk mengaitkan isteri dan diri saya dalam insiden tragik ini adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim.

“Ia bukan saja mengelirukan rakyat, malah mencemarkan reputasi individu yang tidak lagi terlibat dalam perkhidmatan awam,” katanya merujuk kepada perbahasan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan celahan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Rabu.

Saifuddin antara lain membangkitkan dakwaan yang pengetua sekolah itu mempunyai talian keluarga dengan seorang individu VVIP, manakala Takiyuddin yang mencelah menyebut bahawa VVIP itu berada di Dewan Rakyat yang bermaksud beliau ialah seorang Ahli Parlimen.

Berikutan itu, Mustapha tampil memberi kenyataan bagi menjelaskan kedudukan sebenar isterinya yang sudah bersara dan bukan lagi seorang pengetua di sekolah berkenaan.

“Untuk makluman, isteri saya, Cikgu Rosnih Nasir, merupakan bekas Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha Limauan, Papar. Beliau hanya berkhidmat di sekolah tersebut dari 20 Mac hingga 22 November 2024 sebelum bersara sepenuhnya daripada perkhidmatan pendidikan.

“Selepas persaraan tersebut, beliau tidak mempunyai sebarang keterlibatan dalam urusan pentadbiran atau pengurusan sekolah, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya.

Sebelum ini, isterinya turut memuat naik penjelasan di Facebook mengenai dirinya yang bukan lagi pengetua sekolah itu seperti dakwaan pihak tertentu.

Mustapha berkata, insiden tragik yang menimpa Allahyarhamah Zara Qairina berlaku pada 16-17 Julai 2025, iaitu hampir lapan bulan selepas persaraan isterinya.

“Maka, sebarang cubaan untuk mengaitkan beliau dengan insiden ini adalah fitnah semata-mata dan satu bentuk manipulasi politik yang tidak berasas.

“Saya dan keluarga menyeru semua pihak agar mengamalkan prinsip tabayyun, menyelidik sebelum menuduh dalam menyampaikan sebarang kenyataan.

“Hentikanlah eksploitasi terhadap tragedi ini sebagai modal politik. Hormatilah proses siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan hentikan penyebaran fitnah yang boleh menjejaskan reputasi serta emosi individu yang tidak bersalah,” katanya.

Beliau dan keluarganya turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina.

“Kami mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan menghadapi ujian ini dan semoga keadilan dapat ditegakkan dengan sebaik-baiknya buat arwah,” katanya. – Info X