Search

Penyelenggaraan bersepadu SOGT Kimanis dijadual semula elak catuan elektrik

August 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerja penyelenggaraan bersepadu di Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis yang sepatutnya bermula 1 Ogos hingga 7 Ogos ini dijadualkan semula kepada 5 Ogos hingga 11 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata penjadualan semula itu diputuskan pada mesyuarat bersama ECoS, Petronas Carigali Sdn Bhd dan Grid System Operator pada 30 Julai lalu.

Katanya, penjadualan semula itu bagi memberi ruang kepada penyiapan kerja-kerja baik pulih kerosakan beberapa unit
janakuasa milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) dan joji penjana kuasa bebas (IPP).

Jelasnya, ia juga bagi membolehkan ujian keboleharapan pengoperasian loji IPP di Kimanis menggunakan bahan api diesel dan penyiapan tambahan kapasiti Battery Energy Storage System (BESS) sebanyak 40MW.

“Penjadualan semula ini akan dapat mengurangkan secara signifikan impak catuan bekalan kepada pengguna di Sabah sekiranya perlu dilaksanakan untuk kestabilan rangkaian grid Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kerja penyelenggaraan bersepadu di SOGT berserta aset di luar pesisir adalah satu keperluan mandatori untuk memperbaharui Certificate of Fitness (CF) Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Katanya, ia bagi memastikan aset-aset yang terbabit sentiasa beroperasi memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

“Sepanjang kerja-kerja penyelenggaraan ini, bekalan gas akan ditutup untuk dua loji janakuasa IPP iaitu Kimanis Power Plant dan SPR Energy yang mana akan beroperasi menggunakan bahan api diesel.

“Selain itu, kerja-kerja penyambungan paip gas bagi satu projek penjanaan baharu yang sedang dibina oleh SE di Kimanis berkapasiti 100MW turut dilaksanakan dan ia hanya dapat dibuat ketika penutupan bekalan gas.

“Dengan siapnya projek ini pada suku ketiga 2025 berserta inisiatif peningkatan penjanaan yang lain, ia akan dapat meningkatkan jidar simpanan penjanaan Grid Sabah daripada 17 peratus pada masa kini kepada 30 peratus,” katanya.

Nasser berkata, jidar simpanan tenaga di Sabah pada 2023 kurang daripada 10 peratus.

Katanya, peningkatan jidar simpanan tenaga sangat perlu untuk menambah daya tahan Grid Sabah jika berlaku kerosakan beberapa loji penjanaan.

“Selain daripada usaha meningkatkan kapasiti penjanaan, pengguna elektrik boleh turut memainkan peranan dari aspek permintaan beban.

“Kaedah paling mudah ialah menggunakan elektrik secara cekap tenaga dan penggunaan elektrik yang boleh dibuat selepas waktu puncak iaitu selepas jam 9 malam. – Info X