KOTA KINABALU: Sindiket penyelewengan diesel bersubsidi bernilai lebih RM45.59 juta tumpas selepas Pasukan Polis Marin (PPM) menahan enam lelaki dalam serbuan di perairan daerah ini, semalam.
Serbuan kira-kira jam 4.30 pagi itu hasil risikan dan pemantauan hampir sebulan oleh PPM Wilayah 4 Sabah, dengan kerjasama bersepadu pelbagai agensi penguat kuasa.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, operasi bersepadu itu turut disertai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta Jabatan Laut.
Katanya, dua kapal diserbu dan enam lelaki tempatan berusia 25 hingga 43 tahun yang juga kru kapal ditahan.
“Hasil pemeriksaan menemui 250,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM535,350 yang disyaki digunakan bagi tujuan penyelewengan.
“Turut dirampas dua kapal, pelbagai peralatan dan beberapa dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nazri berkata, maklumat awal mendapati kedua-dua kapal terbabit aktif menjalankan transaksi penjualan diesel bersubsidi secara haram kepada pelbagai vesel di perairan daerah ini.
“Sindiket selewang diesel ini adalah yang terbesar fi Kota Kinabalu dan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM45,590,150,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2025, PPM merekodkan 119 kes penyelewengan bahan api petrol dan diesel, membabitkan rampasan berjumlah RM81,254,966.84.
“Dalam tempoh sama, seramai 135 individu turut ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyelewengan ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan haram yang berlaku di perairan negara.
“PPM akan terus komited membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – Info X