Search

Istana Seri Kinabalu nafi ahli keluarga TYT terbabit dalam kes kematian Zara Qairina

July 31, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Istana Seri Kinabalu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tular di media sosial mengaitkan kes kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar dengan keluarga Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Menerusi satu kenyataan, Setiausaha Perhubungan TYT, Datuk Abdullah Hussin, berkata dakwaan kononnya individu yang terbabit dalam kes yang menyebabkan kematian pelajar terbabit adalah keluarga TYT sebagai tidak berasas dan bersifat fitnah.

“Istana Seri Kinabalu menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas, tidak bertanggungjawab serta bersifat fitnah yang boleh mencemarkan reputasi keluarga TYT.

“Berikutan itu, Istana Seri Kinabalu meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan berbaur fitnah,” katanya.

Beliau berkata, Istana Seri Kinabalu turut mengingatkan penyebaran maklumat palsu boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tegasnya, sebarang perkembangan berkaitan siasatan hendaklah dirujuk kepada pihak polis atau kepada Kementerian Pendidikan bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham orang awam.

Pada Khamis, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun menjelaskan kertas siasatan kes itu sudah dihantar oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah ke Ibu
Pejabat Polis Bukit Aman untuk diperhalusi sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Seramai 60 saksi termasuk guru dan pelajar SMKA Tun Datu Mustapha dirakam keterangan bagi melengkapkan siasatan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah berkenaan. – Info X