Search

272 ayam sabung baka luar negara dirampas, premis ternakan haram diserbu

August 1, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Kegiatan pemeliharaan ayam sabung baka dari luar negara secara haram terbongkar apabila sebuah premis yang dijadikan pusat ternakan diserbu dalam Operasi Bersepadu Khazanah, di daerah ini, Rabu lalu.

Operasi hasil risikan Unit Risik Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) cawangan Semporna itu dijalankan selepas menerima maklumat berhubung kewujudan premis tidak berlesen berkenaan.

Komander PGA Briged Sabah, Senior Asisten Komisioner Datuk Abdul Rani Alias berkata, hasil serbuan itu, pasukan operasi menahan dua lelaki yang juga penjaga premis berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut merampas 112 ekor ayam sabung hidup dan 160 ekor anak ayam bersama pelbagai ubat, makanan tambahan haiwan serta peralatan penjagaan ayam.

“Semua ayam ini dipercayai diseludup dari luar negara dan dijual antara RM3,000 hingga RM5,000 seekor untuk pasaran di Kunak, Tawau dan Semporna,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati premis terbabit dipercayai beroperasi sejak tahun lalu sebagai pusat pembiakan ayam sabung untuk tujuan jualan dan aktiviti perjudian sabung ayam.

Ayam sabung baka dari luar negara yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Semporna dalam operasi Bersepadu Khazanah.

Katanya, selain ayam dan peralatan, beberapa produk makanan serta ubat-ubatan haiwan import yang tidak mendapat kelulusan turut disita.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM482,431,” katanya.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan modus operandi menyeludup ayam sabung melalui laluan darat dari luar negara sebelum dihantar ke pantai timur Sabah untuk dipasarkan secara haram.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 serta Seksyen 5(1) dan Seksyen 21(1)(h) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.

“Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan JPVS untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, PGA akan terus mempergiat operasi serta risikan bagi mengekang jenayah penyeludupan dan pemeliharaan haiwan eksotik tanpa lesen serta kegiatan yang menyalahi undang-undang negara.

“Kerjasama erat bersama agensi-agensi berkaitan akan terus dipertingkatkan demi memastikan keselamatan dan ketenteraman komuniti setempat sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X