KOTA KINABALU: Peguam yang dilantik ibu Zara Qairina Mahathir menulis surat kepada Jabatan Peguam Negara di Kota Kinabalu memohon untuk melaksanakan kuasa mereka di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah bagi mengarahkan Majistret mengadakan satu inkues menentukan punca kematian Zara dengan kadar segera.
Peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dalam satu kenyataan pada Jumaat, berkata permohonan itu dibuat atas arahan ibu Zara, Noraidah Lamat yang mahu punca kematian Zara dikenal pasti.
Mereka berkata, laporan polis tambahan yang dibuat Noraidah di Balai Polis Sipitang pada 30 Julai lalu menyatakan keraguannya mengenai punca kematian Zara yang kononnya jatuh dari tingkat tiga bangunan.
“Wajah Zara tidak mempunyai kecederaan fizikal, lebam atau Iuka yang lazimnya berkait dengan kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi. Ini ditambah lagi dengan tindakan pihak sekolah yang meminta anak guam kami agar tidak membuat laporan polis.
“Anak guam kami berpendapat bahawa pihak polis sepatutnya melakukan bedah siasat terhadap mayat Zara bagi membantu siasatan. Ini kerana tidak ada bedah siasat dilakukan terhadap mayat Zara sebelum dikebumikan.
“Bedah siasat akan membantu siasatan pihak polis dalam menentukan punca sebenar kematian Zara. Dalam laporan polisnya, anak guam kami memohon agar kubur Zara digali semula bagi tujuan inkues,” katanya.
Selaras dengan kehendak itulah, katanya mereka menulis surat kepada Jabatan Peguam Negara di Kota Kinabalu pada 31 Julai 2025.
“Kami berharap Jabatan Peguam Negara akan bersetuju dengan permohonan kami di atas bagi membantu pihak polis menyelesaikan siasatan mereka dalam tempoh terdekat,” katanya.
Sementara itu, Hamid dan Shahlan menafikan semua tuduhan yang mendakwa kematian Zara adalah disebabkan oleh ibunya.
“Tuduhan ini adalah tidak benar dan adalah satu fitnah jahat kepada anak guam kami. Tidak ada ‘plot twist’ dalam kes ini.
“Kami menasihati para netizen agar tidak membuat sebarang fitnah terhadap mana-mana individu berkaitan dengan kematian Zara.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan polis, sila salurkan maklumat itu kepada pihak polis atau kepada kami.
“Kami sekali lagi berterima kasih kepada semua individu dan organisasi yang telah menularkan kes ini demi mencapai keadilan buat Zara,” katanya. – Info X