Search

PRN17: Warisan tanding 73 kerusi – Shafie

August 1, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Parti Warisan akan bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Perkara itu disahkan Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika ditanya sama ada Warisan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya itu nanti.

“Kita tiada (kerjasama dengan parti lain)..kadang-kadang banyak orang cerita, dulu dengan UMNO dan sekarang dengan Perikatan pula, tidak tahu dengan siapa lagi selepas ini.

“Saya jelaskan bahawa kita bekerjasama dengan rakyat, maka dengan itu kita akan bertanding 73 kerusi pada pilihan raya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Imam Laggu, Jalan Kunak-Semporna, di sini, pada Jumaat.

Ahli Parlimen Semporna yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu, berkata pihaknya juga sudah mengenal pasti calon berpotensi di semua kerusi terbabit.

“Kita sudah ada calon berpotensi, tunggu pengumunan saja. Calon kita ialah calon yang boleh menang, tidak melompat dan boleh buat kerja,” katanya.

Sementara itu, Shafie yang juga bekas Ketua Menteri meminta rakyat negeri ini supaya bersatu dan tidak berpecah disebabkan politik.

Katanya, gelombang politik di Sabah yang menyaksikan banyak parti bersaing, termasuk dari Semenanjung dibimbangi boleh menyebabkan perpecahan rakyat.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Sabah menjadikan PRN17 sebagai medan untuk bersatu, khususnya di bawah Warisan tanpa mengenepikan soal bekerjasama dengan persekutuan.

Shafie berkata, Warisan sudah membuktikan boleh bekerjasama dengan sesiapa saja seperti dilakukan ketika Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Ketujuh, disusuli Tan Sri Muhyiddin Yassin hinggalah Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang. – Info X