PAPAR: Seorang pejalan kaki maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika melintas jalan di Kilometer 2, Papar Spurs, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.45 malam itu, mangsa lelaki berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati
mangsa secara tiba-tiba berlari masuk ke tengah jalan menyebabkan pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Rush, tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Info X