Search

Wanita didakwa buat laporan palsu disamun di Papar

August 2, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Papar, kelmarin atas pertuduhan membuat laporan palsu berhubung kejadian samun yang kononnya berlaku di hadapan sebuah premis di Pekan Papar, Jun lalu.

Tertuduh yang juga warga tempatan, didakwa dengan sengaja memberi maklumat palsu kepada seorang pegawai polis di Pejabat Detektif Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar pada 11 Jun 2025 kira-kira jam 10.30 pagi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh memberi maklumat palsu berhubung satu kejadian samun kononnya melibatkan dua lelaki menaiki motosikal yang telah mengacukan pisau ke arahnya sebelum merampas beg tangan miliknya.

Laporan terbabit menyatakan kejadian berlaku di atas jalan raya berhadapan kedai S’pore Hair & Beauty Saloon, Pekan Papar dan kononnya mengakibatkan tertuduh kerugian dokumen peribadi serta wang tunai berjumlah RM4,000.

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati tiada sebarang kejadian samun berlaku di lokasi dan waktu seperti didakwa.

Untuk kesalahan itu, tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan denda sebanyak RM700 dan sekiranya gagal tertuduh akan dipenjara empat minggu. – Info X