Search

Suami isteri ditahan, syabu lebih RM17,000 dirampas

August 2, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Tindakan licik sepasang suami isteri yang dipercayai menjadikan rumah sebagai ‘port’ pengedaran dadah terbongkar apabila diserbu polis dalam Op Tapis, di sini semalam.

Pasangan berusia 39 dan 34 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan SMK Sains, Batu 8 selepas penahanan awal seorang lelaki berusia 58 tahun di Kampung Sapadulang yang membawa kepada pembongkaran aktiviti haram berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, suspek pertama ditahan bersama 0.17 gram syabu bernilai RM18.70 dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Hasil tangkapan itu membawa kepada serbuan susulan ke atas sebuah rumah dipercayai digunakan pasangan suami isteri terbabit untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah.

“Pemeriksaan lanjut, menemui 157.54 gram syabu dianggarkan bernilai RM17,329.40 bersama pelbagai barangan dipercayai hasil daripada kegiatan haram itu termasuk sebuah kenderaan, televisyen, telefon bimbit serta wang tunai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine dan amphetamine manakala isterinya negatif.

“Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 12(2) akta sama,” katanya.

Sementara itu, Dzulbaharin menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah bagi membantu pihak berkuasa membanteras jenayah dan menjaga keselamatan komuniti setempat. – Info X