KOTA KINABALU: Kegembiraan dua remaja menikmati makan malam bersama bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sendiri di Jalan Pintas Penampang, berhampiran 88 Commercial Centre, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dipercayai dalam perjalanan mengiringi rakannya pulang selepas mereka selesai makan bersama di kawasan berdekatan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, sebaik tiba berhampiran 88 Commercial Centre menghala ke Jalan Lintas, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan terjunam ke dalam parit konkrit sedalam 10 meter.
“Mangsa tercampak ke dasar parit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu, manakala motosikal yang digunakan didaftarkan atas nama individu lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, keadaan cuaca ketika kejadian adalah baik dan jalan juga tidak sibuk.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Kasim berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan memastikan aspek keselamatan diberi keutamaan setiap kali menunggang, lebih-lebih lagi pada waktu malam.
Dalam kejadian itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu turut berada di lokasi bagi membantu mengangkat mangsa yang tercampak ke dasar parit konkrit. – Info X