KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, pelajar tingkatan satu yang meninggal dunia pada 16 Julai lalu, hari ini membuat satu lagi laporan polis berhubung kematian anaknya itu.
Laporan dibuat di Balai Polis Sipitang selepas Noraidah Lamat, teringat semula mengenai kesan-kesan lebam yang dilihatnya pada belakang tubuh anaknya ketika memandikan jenazah Zara di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai.
Menurut peguam mewakili keluarga, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, dalam satu kenyataan bersama hari ini, anak guam mereka melihat sendiri kesan-kesan lebam tersebut kerana dia yang memandikan jenazah Zara bersama beberapa wanita lain.
“Anak guam kami tidak memasukkan fakta penting ini di dalam laporan-laporan polisnya sebelum ini kerana dia terlupa sepenuhnya mengenainya.
“Beliau hanya teringat semula tentang kesan-kesan lebam ini apabila kami menyoal beliau kelmarin tengahari berkenaan keadaan tubuh anaknya semasa dimandikan olehnya.
“Beliau terlupa berkenaan fakta ini kerana sejak dari 16 Julai lalu, beliau terlalu sedih dengan perkara yang menimpa anaknya,” katanya.
Menurut mereka, Noraidah percaya kesan lebam yang dilihatnya itu adalag kesan-kesan kecederaan yang diakibatkan oleh pukulan-pukulan menggunakan objek tumpul ke bahagian belakang Zara sebelum dia ditemui di bahagian bawah bangunan asrama sekolahnya pada subuh 16 Julai lalu.
Peguam turut mengambil maklum kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, semalam bahawa siasatan polis ke atas kes berkenaan selesai dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara minggu hadapan.
“Namun, perkembangan terbaharu di atas menjustifikasikan pembukaan semula siasatan kes.
“Kubur Zara perlu digali semula dengan kadar segera dan satu bedah siasat dibuat terhadap tubuhnya untuk menentukan punca sebenar kematian dan sama ada wujud elemen-elemen jenayah yang menyebabkan kematian itu,” menurut kenyataan itu lagi.
Dalam kenyataan sama, peguam turut merujuk laporan polis yang dibuat Noraidah pada 30 Julai lalu berkaitan rakaman perbualan telefon antara beliau dan arwah Zara.
“Dalam perbualan itu, Zara memaklumkan terdapat pelajar-pelajar senior yang sering mengganggu dan/atau membulinya sehingga ada yang mengugutnya dengan berkata ‘kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni’.
“Maklumat ini mungkin mempunyai kaitan dengan maklumat terbaharu yang disalurkan oleh anak guam kami kepada polis pada pagi ini,” katanya. – Info X