KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak menimbulkan fitnah dalam kes membabitkan kematian Zara Qairina Mahathir.
Katanya, serangan terhadap Menteri Pendidikan dan pelbagai tuduhan yang ditimbulkan berkaitan insiden itu adalah tidak wajar.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan melindungi sesiapa, termasuk individu bergelar tan sri, datuk atau menteri jika terbabit dalam perbuatan jenayah.
“Ada satu kematian baru-baru ini, Menteri Pendidikan diserang. Apa nak jadi negara kita ini? Oh! anak orang itu ada, anak orang itu.
“Saudara-saudari, kematian ini bukan soal yang ringan. Anak petani miskin di Kundasang kalau mati itu tanggungjawab kita bersama untuk cari, bukan tuduh sesiapa.
“Saya bicara terus dengan Ketua Polis Negara, Datuk Srri Mohd Khalid, Menteri Dalam Negeri, saya kata buat siasatan segera mungkin cari segala fakta dan mereka selesaikan. Dia kata sudah 60 orang telah diambil keterangan.
“Dan ini kita kena harus ingat, negara ini negara hukum bukan negara fitnah. Siapa pun terlibat, tidak peduli siapa Tan Sri, Datuk Seri, Menteri kalau terlibat dalam jenayah pembunuhan ataupun sokong tidak akan diberi perlindungan.
“Tetapi jangan fitnah, anak Menteri, saudara Timbalan Perdana Menteri ataupun saudara Timbalan Ketua Menteri, ini apa dah jadi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Ahad.
Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta barisan kepimpinan negeri dan persekutuan.
Perdana Menteri berkata, beliau menyebut perkara itu bagi menjelaskan perkara yang sebenar dan memastikan tumpuan dapat dibetikan terhadap hal yang memberi manfaat.
“Sekarang Polis telah serah laporan lengkap kepada Jabatan Peguam Negara.
“Semalam setelah Majlis Musabaqah Al-Quran, saya panggil Peguam Negara tanya, dia kata ya, hari Isnin kita dapat, tapi saya tidak campur. Saya tanya kerana rakyat mahu tahu,” katanya. – Info X