Search

Cubaan curi kabel punca seluruh Telipok terputus bekalan elektrik pada Ahad

August 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Cubaan mencuri kabel elektrik bawah tanah milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) menyebabkan sebahagian besar kawasan di sekitar Telipok berdepan gangguan elektrik selama beberapa jam pada Ahad.

Menerusi satu kenyataan pada Isnin, Ketua Pegawai Operasi SE Ir Mohd Yusmanizam Mohd Yusuf, berkata perbuatan tidak bertanggungjawab itu membabitkan kabel talian 33kV menghubungkan PPU Kibing ke PPU Manggatal.

Katanya, kejadian berlaku pada awal pagi Ahad menyebabkan kerosakan yang serius pada kabel terbabit, sebelum bekalan kepada pengguna akhirnya terputus pada tengah hari dan berlanjutan selama beberapa jam.

Bekalan elektrik katanya hanya dapat dipulihkan sepenuhnya pada jam 5.14 pagi Isnin berikutan tahap kerosakan yang besar disebabkan cubaan mencuri kabel itu.

“Cubaan mencuri kabel bawah tanah di kawasan Telipok pada awal pagi Ahad telah menyebabkan kerosakan serius pada kabel 33kV, sekali gus menjejaskan bekalan ke beberapa kawasan sekitar sejak tengah hari Ahad.

“Pasukan teknikal Sabah Electricity telah digerakkan serta-merta untuk melaksanakan kerja pembaikan sepanjang malam.

“Sebanyak lima buah janakuasa bergerak ditempatkan untuk membantu menyalur bekalan elektrik ke kawasan terjejas.

“Pasukan baik pulih kerosakan bekerja terus menerus tanpa henti sehingga bekalan dapat diberikan semula pada jam 5.14 pagi, 4 Ogos 2025.

“Kelewatan disebabkan tahap kerosakan yang besar berpunca daripada cubaan mencuri dengan cara memotong kabel elektrik 33kV,” katanya.

Katanya, SE amat kesal atas segala kesulitan yang timbul akibat insiden itu dan mengucapkan terima kasih kepada semua pengguna yang terjejas atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh pemulihan.

“Sabah Electricity juga menyeru orang ramai agar sentiasa peka terhadap sebarang aktiviti mencurigakan berhampiran kemudahan elektrik dan segera melaporkannya kepada pihak berkuasa atau Sabah Electricity Careline di talian 15444 atau WhatsApp 019-852 5427. – Info X