KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Negara pada Isnin mengesahkan sudah menerima laporan siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir yang meninggal dunia dipercayai selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada pertengahan Julai.
Kejadian dilaporkan berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, di Kinarut, Papar pada pertengahan Julai lalu.
Menerusi satu kenyataan pada Isnin, Jabatan Peguam Negara memaklumkan menerima laporan penuh siasatan awal daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) masing-masing pada 3 Ogos 2025 di Cawangan Sabah dan pada 4 Ogos 2025 di Ibu Pejabat Putrajaya.
Sehubungan itu, katanya Jabatan Peguam Negara kini sedang meneliti laporan siasatan awal polis itu dari semua aspek undang-undang.
“Sehubungan itu, jabatan ini sedang meneliti dengan mendalam laporan penuh siasatan awal tersebut. Proses penelitian ini merangkumi semua aspek undang-undang dan fakta yang dikemukakan bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah berlandaskan undang-undang serta memenuhi prinsip keadilan.
“Sebarang keputusan berkaitan kes ini akan dimaklumkan setelah proses penelitian laporan penuh siasatan awal tersebut selesai dilaksanakan,” katanya.
Jabatan itu turut menyatakan penghargaan atas kerjasama semua pihak dan menggesa orang awam untuk mengelak daripada membuat sebarang penyataan bersifat spekulatif yang boleh menjejaskan proses siasatan dan keadilan. – Info X