KOTA KINABALU: Pakaian Zara Qairina Mahathir yang dipakainya ketika ditemui di bawah bangunan asrama sebelum dilaporkan meninggal dunia pada 16 Julai lalu diserahkan kepada polis, pada Selasa.
Peguam Hamid Ismail yang mewakili keluarga Zara, berkata beberapa lagi barangan peribadi arwah turut diserahkan kepada polis untuk siasatan.
Katanya, semua barangan peribadi Zara diserahkan kepada polis di pejabat guamannya pada kira-kira jam 2 petang Selasa.
Dalam kenyataan sebelum ini, Hamid dan rakan guamannya, Shahlan Jufri memaklumkan akan menyerahkan semua pakaian dan barangan peribadi milik Zara, termasuk yang dipakai ketika kejadian, kepada pihak polis.
Tindakan itu susulan panggilan daripada pihak polis yang menghubungi mereka pada Isnin berhubung barangan berkenaan.
Mereka sebelum ini mendedahkan pihak polis tidak mengambil atau memohon daripada anak guam mereka untuk mendapatkan semua pakaian dan barangan Zara untuk siasatan.
Atas sebab itu, mereka berpendapat kertas siasatan yang dihantar ke Jabatan Peguam Negara sebelum ini tidak lengkap, tidak menyeluruh dan skop siasatan yang sangat terhad.
Zara disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut. – Info X