Search

Lelaki warga asing mengamuk bawa pisau ditahan

August 6, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas mengamuk sambil membawa sebilah pisau di kawasan Kampung Batu 4, Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.55 tengah malam itu, suspek berusia 30-an ditahan anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari bilik kawalan IPD Tawau sebelum pasukan MPV digerakkan ke lokasi kejadian.

“Suspek berjaya ditahan di luar sebuah rumah bersama pisau sepanjang kira-kira 24.5 sentimeter yang digunakan dalam kejadian itu.

“Semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau namun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek kini ditahan di IPD Tawau dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing bagi membantu mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam. – Info X