Search

Cubaan seludup petrol tumpas

August 6, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan sindiket menyeludup bahan api bersubsidi di perairan Pulau Bum-Bum, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, empat buah bot pam bersama 26 tong petrol bernilai lebih RM10,000 turut dirampas menerusi Op Pluto Timur 2/2023, Op Khas Cegah PATI (OCP) dan Op Tiris 3.0.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat risikan yang diperoleh sebelum ini.

Katanya, sepasukan anggota daripada Bot KILAT 52 dan Bot ADAL 18 digerakkan ke lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas kegiatan penyeludupan.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi mengesan empat bot pam tanpa nombor pendaftaran bergerak dalam keadaan mencurigakan.

“Bagaimanapun, kehadiran anggota Maritim Malaysia disedari suspek yang bertindak nekad terjun ke laut dan berenang ke kawasan cetek untuk meloloskan diri, meninggalkan bot bersama muatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota APMM memeriksa bot yang dirampas di perairan Pulau Bum-Bum, Semporna. – Pix/APMM

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan 26 tong berisi petrol dan sebuah enjin sangkut yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan bahan api bersubsidi.

Amir berkata, semua rampasan dibawa ke Jeti Kem Azumi untuk tindakan lanjut, dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Rampasan ini membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam mengekang aktiviti penyeludupan bahan kawalan di perairan negara.

“Zon Maritim Semporna akan terus mempergiatkan rondaan dan penguatkuasaan secara konsisten bagi memastikan perairan negara tidak diceroboh dan kekal selamat daripada ancaman jenayah maritim,” katanya. – Info X