KENINGAU: Tindakan licik dua lelaki tempatan menyimpan ganja di sebuah rumah di Batu 27, Jalan Keningau-Tenom terbongkar apabila polis menyerbu premis berkenaan dalam Op Tapis, baru-baru ini.
Serbuan selama dua hari oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau itu berjaya merampas ganja seberat 770 gram selain menahan dua suspek berusia 30-an dan 60-an.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil anak Garai berkata, pemeriksaan dalam rumah terbabit menemukan 12 peket plastik berisi daun-daun kering dipercayai ganja seberat 98.96 gram.
“Turut dirampas, tiga peket plastik berlogo ‘Gucci’ serta satu bungkusan besar berisi ketulan mampat ganja seberat 669.66 gram.
“Kedua-dua suspek yang juga warga tempatan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek berusia 30-an dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dan telah didakwa di Mahkamah Majistret Keningau mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Seorang lagi suspek berusia 60-an bagaimanapun dibebaskan tanpa syarat selepas pihak pendakwaan mendapati tiada bukti kukuh mengaitkannya dengan rampasan dadah itu,” katanya.
Yampil berkata, pihaknya akan terus melaksanakan operasi secara agresif dalam usaha membanteras jenayah, terutama berkaitan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah berkenaan.
“Komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara tidak akan dikompromi.
“Kita juga amat menghargai kerjasama orang awam untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah bagi membantu polis mengambil tindakan,” katanya. – Info X