KOTA KINABALU: Pemimpin nasional, termasuk Perdana Menteri diminta tidak memaksa kerjasama di antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Aktivis politik pro GRS, Aksyah Nasrah menyifatkan cubaan menyatukan dua gabungan itu seperti menggabungkan air dan minyak.
Tegasnya, formula politik Sabah kini memerlukan GRS diangkat sebagai tonggak utama dalam apa saja gabungan politik yang dibentuk, sejajar dengan semangat autonomi dan slogan ‘Rumah Kita, Kita Jaga’.
“Saya hairan kenapa PMX bertindak seolah-olah menjadi wakil BN untuk menentukan bentuk kerjasama politik di Sabah.
“Kerjasama GRS dengan PH Plus sudah memadai. Di mana suara pemimpin BN Sabah dalam mempertahankan hak menentukan halatuju mereka sendiri?,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Kenyataan beliau sebagai maklum balas terhadap hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyuarakan harapan agar PH, BN dan GRS bekerjasama bagi mengelak pertembungan pada PRN17.
Aksyah turut mempersoalkan pendirian BN Sabah yang sering dilihat tidak konsisten, malah pernah menolak GRS sebagai rakan politik yang setaraf.
Katanya, sejarah hubungan lalu membuktikan GRS tidak terdesak untuk bekerjasama dengan BN.
“Jika benar kerjasama BN-PH telah ‘dikunci’ seperti dakwaan Presiden UMNO, maka seharusnya BN Sabah tampil menyatakan pendirian jelas bahawa pintu rundingan kerjasama dengan GRS telah ditutup,” katanya.
Jelasnya, BN Sabah tidak sepatutnya bersikap ‘yes man’ kepada arahan pemimpin pusat sedangkan mereka berulang kali menyatakan GRS bukan sebuah parti kuat dan tidak pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini.
“GRS tidak pernah bergantung kepada simpati mana-mana pihak. Sebaliknya, sudah bersedia membawa aspirasi rakyat Sabah menerusi PRN17 sebagai medan referendum sebenar,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama politik GRS bersama PH Plus lebih meyakinkan berbanding BN, kerana ia dibina atas asas saling percaya dan keikhlasan.
Katanya, PRN17 nanti adalah medan referendum rakyat untuk menentukan sama ada mandat harus diberikan kepada parti tempatan seperti GRS atau parti nasional seperti BN.
Beliau turut menyokong pendirian Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah yang menolak cadangan Perdana Menteri mengenai kerjasama tiga penjuru PH-BN-GRS.
“Pendirian ini selari dengan kenyataan jelas Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor bahawa kerjasama politik pada PRN ini hanya melibatkan GRS dan PH Plus, berteraskan keikhlasan dan kejujuran demi kestabilan politik negeri,” katanya. – Info X