LAHAD DATU: Taktik licik seorang wanita menawarkan jualan minyak masak bersubsidi di sekitar daerah ini terbongkar apabila dia ditahan polis selepas disyaki menipu mangsa dan menggunakan wang bayaran untuk membayar hutangnya, semalam.
Suspek bukan warganegara dipercayai menawarkan jualan minyak masak dalam kuantiti banyak kepada orang awam dengan harga menarik.
Namun selepas menerima bayaran, suspek dikatakan langsung tidak menunaikan janji untuk menghantar bekalan seperti dijanjikan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu susulan laporan yang diterima daripada mangsa.
“Siasatan awal mendapati suspek menggunakan wang hasil penipuan itu untuk menyelesaikan hutang peribadi, bukannya untuk membeli atau membekalkan minyak masak seperti dijanjikan kepada pelanggan.
“Lebih mengejutkan, suspek juga tidak memiliki Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Katanya, pihak polis memandang serius kes penipuan seperti ini kerana ia membabitkan keperluan asas harian rakyat serta menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi untuk tujuan peribadi.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dengan sebarang tawaran luar biasa terutama membabitkan jualan barangan kawalan dalam talian atau tanpa lesen sah,” katanya. – Info X