KOTA KINABALU: Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir meminta pengguna media sosial menghentikan penularan spekulasi, gambar, video dan maklumat peribadi pelajar sekolah yang dikaitkan dengan kes kematian Zara.
Menerusi satu kenyataan pada Rabu, peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri turut meminta agar semua bahan yang dimuat naik di media sosial itu dipadam.
“Kepada mereka yang telah melakukan penyebaran di atas, kami memohon agar memadam video dan gambar tersebut. Spekulasi hanya menambah tekanan dan kesedihan kepada anak guam kami,” katanya.
Kenyataan mereka menyusul berikutan penularan beberapa video and gambar yang dikaitkan dengan kes kematian Zara.
Mereka turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kes Zara supaya menyalurkan maklumat kepada polis untuk siasatan.
Dalam kenyataan itu, Hamid dan Shahlan menyenaraikan tiga perkara tular di media sosial yang disifatkan tidak wajar dan minta dihentikan.
Pertama, mereka menyifatkan video seorang wanita yang menceritakan mengenai Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh sebagai satu spekulasi.
“Anak guam kami, iaitu ibu Zara, tidak pernah memberi maklumat sedemikian kepada sesiapa. Kami memohon wanita berkenaan menyalurkan maklumat itu kepada polis bagi tujuan siasatan.
“Penyebaran gambar kronologi yang menggambarkan Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada jam 8 pagi 16 Julai 2025 juga adalah satu spekulasi. Maklumat yang membentuk kronologi itu bukan datang dari anak guam kami,” katanya.
Kedua, mereka mengingatkan kesalahan berkaitan penyebaran gambar pelajar sekolah di platform media massa dan membuat kenyataan yang negatif terhadap mereka.
“Ia adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Ketiga, penyebaran senarai nama pelajar sekolah yang mengandungi maklumat peribadi mereka juga adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 130 Akta Perlindungan Peribadi 2010 dan Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. – Info X