Search

Tangani masalah pelajar secara bersama

August 6, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu dan polis perlu diperkukuh bagi membendung gejala sosial dalam kalangan pelajar yang semakin membimbangkan, termasuk salah laku seksual, buli, penyalahgunaan dadah, gengsterisme dan perlakuan ganas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya komited menjadi rakan strategik dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan warga sekolah sentiasa terpelihara.

Menurutnya, cabaran semasa dalam era digital dan dunia tanpa sempadan menyaksikan pelajar semakin terdedah kepada pengaruh negatif, termasuk penggunaan media sosial secara bebas tanpa kawalan.

“Pelajar kini mudah terjebak dengan pengaruh dadah, jenayah seksual, buli siber, perlakuan agresif serta kegiatan gengsterisme.

“Malah, ada yang sanggup merakam dan menyebarkan kandungan lucah, bertindak ganas terhadap rakan dan mempamerkan tingkah laku tidak bermoral dalam media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Permuafakatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, di Dewan Serbaguna IPD Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata, ada juga kes pelajar merogol, meraba, menunjukkan bahan lucah kepada rakan, selain terlibat dalam jenayah seksual walaupun masih di bawah umur.

Katanya, turut membimbangkan ialah gejala buli fizikal, buli lisan dan buli siber yang mengakibatkan gangguan kesihatan mental terhadap mangsa sehingga ada yang mencederakan diri sendiri.

“Kes pelajar menunggang motosikal tanpa lesen, merokok, menghisap vape, memeras ugut dan mencuri juga semakin meningkat kerana ketagihan.

“Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan wang membeli rokok dan vape,” katanya.

Jelasnya, semua pihak harus menyelaras semula peranan masing-masing dan menyemai persefahaman bersama dalam merangka pelan tindakan yang menyeluruh dan berkesan.

“Kita perlu membentuk ekosistem pendidikan yang selamat, harmoni dan kondusif supaya anak-anak kita membesar sebagai warganegara yang bertanggungjawab dan menolak jenayah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu atas komitmen dan sokongan berterusan dalam menjayakan kerjasama bersama polis. – Info X