KOTA KINABALU: Persidangan dan expo Asiawater Versi Sabah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini dilihat sebagai acara penting dalam usaha menangani isu utama yang memberi kesan kepada Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata menerusi program itu pelbagai perbincangan bermakna pasti menarik perhatian, terutama dalam usaha mencari penyelesaian terhadap perkara itu.
“Dalam beberapa hari ini, saya percaya anda semua akan terlibat dalam perbincangan yang bermakna serta meneroka penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran mendesak yang kita hadapi di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran program Asiawater Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Rabu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Hajiji berharap perbincangan sepanjang program dua hari pada Rabu dan Khamis itu akan membuka ruang baharu untuk kerjasama dan perkongsian ilmu.
“Apa yang lebih penting ialah meningkatkan keupayaan dan merangka strategi berkesan untuk menambah baik perkhidmatan air kepada masyarakat kita,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata kerajaan negeri komited untuk meningkatkan keupayaan tenaga kerja tempatan dalam sektor air yang selaras dengan visinya untuk kemakmuran Sabah.
Jelasnya, dengan membekalkan profesional tempatan dengan pengetahuan dan kemahiran terkini, ia dapat memperkasa mereka untuk menerajui penerapan teknologi dan amalan baharu.
“Pelaburan dalam modal insan ini amat penting untuk pembangunan mampan dalam semua sektor pembangunan,” katanya.
Hajiji berkata manfaat ekonomi daripada industri air dan kumbahan yang kukuh adalah besar kerana perkhidmatan air yang lebih baik membawa kepada peningkatan tahap kesihatan awam dan produktiviti yang lebih tinggi.
“Apabila kita melabur dalam infrastruktur air, kita turut merangsang penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi, seterusnya memastikan semua rakyat Sabah mendapat manfaat daripada kemajuan ini,” katanya.
Program Asiawater Versi Sabah itu disertai kira-kira 2,000 peserta dari Sabah dan beberapa negara Asia Tenggara.
Ia adalah ekspo dan forum antarabangsa anjuran Informa Markets dengan syarikat konsesi air, Jetama Sdn Bhd sebagai rakan strategik bagi program di Sabah pada kali ini. – Info X