Search

9 lelaki positif dadah ditahan, syabu dirampas

August 6, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Polis menahan sembilan lelaki dan merampas dadah jenis syabu bernilai lebih RM5,800 dalam dua operasi berasingan yang dijalankan di daerah ini sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata sebelum itu, pihaknya menerima maklumat dan risikan mengenai aktiviti dadah di daerah ini.

Katanya, tangkapan pertama dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu menerusi Op Tapis di sebuah pondok tidak bernombor di Ladang SLDB Litang, Jalan Jeroco, semalam.

“Dalam serbuan jam 6.40 petang itu, tiga lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 52 tahun ditahan bersama 50.46 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM5,550.60.

“Turut ditemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti penagihan, manakala empat buah motosikal pelbagai jenis disita disyaki ada kaitan dengan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua suspek turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine hasil ujian saringan awal air kencing.

Sementara itu katanya, dalam operasi berasingan awal pagi tadi, sepasukan anggota dari Kompeni B, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17 Lahad Datu menahan enam lelaki disyaki terlibat dengan dadah.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil Op Taring ESSZONE yang dilakukan di kawasan jambatan Kampung Sungai Bilis, Jalan Tanjung Labian, di sini.

“Dalam operasi jam 12.05 tengah malam itu, lima suspek terbabit adalah warga Filipina, manakala seorang lagi adalah warga tempatan, berusia antara 19 hingga 56 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan 2.33 gram dadah jenis syabu bernilai RM256.30 daripada tiga suspek,” katanya.

Dzulbaharin berkata, semua suspek dalam operasi kedua itu juga disahkan positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Kesemua sembilan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan kedua-dua operasi ini mencerminkan komitmen berterusan polis dalam membanteras jenayah penyalahgunaan dadah di Lahad Datu.

“Polis akan terus memperhebatkan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan daerah ini bebas daripada ancaman dadah demi kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya. – Info X