Oleh Salman Halus
MEMBANDINGKAN pencapaian ekonomi kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini dengan apa yang dicapai kerajaan Parti Warisan (Warisan) sebelum ini bukan satu pendekatan yang tepat untuk menilai kerajaan mana yang berjaya membawa Sabah ke tahap yang lebih baik.
Warisan mungkin berbangga dengan pencapaiannya merekodkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang tinggi RM85.01 bilion pada 2018 dan RM85.6 bilion pada 2019, namun perlu diingat ia sebenarnya mewarisi ‘ekonomi’ kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu.
Sebagai parti yang baru mengambil alih pentadbiran negeri pada masa itu, tidak dinafikan banyak pembaharuan dan rombakan yang dilakukan Warisan dalam usaha membangunkan ekonomi Sabah, namun perlu juga disedari aktiviti ekonomi yang sedia wujud dari kerajaan sebelumnya masih berjalan dan memberi pulangan kepada kerajaan Warisan.
Begitu juga halnya ketika GRS mengambil alih kerajaan selepas menewaskan Warisan pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020, ia juga mewarisi ekonomi yang ‘dibangunkan’ oleh kerajaan Warisan selama lebih dua tahun mentadbir negeri.
Jika dilihat rekod ekonomi negeri pada 2020, nilai KDNK Sabah menjunam kepada RM77.8 bilion dan perlu diingat kerajaan Warisan masih memerintah sehingga September pada tahun itu, termasuk hampir dua bulan sebagai kerajaan ‘caretaker’ setelah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai 2020.
Pemimpin Warisan sendiri, terutama Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengakui pandemik COVID-19 yang menular bermula pada awal 2020 hingga memaksa kerajaan Pusat melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan aktiviti ekonomi merosot dengan teruk pada tahun berkenaan.
Malangnya, di sebalik COVID-19 yang membimbangkan kesihatan rakyat pada masa itu, Shafie membuat keputusan mengejut membubarkan DUN bagi mengadakan pilihan raya dan akhirnya mencetuskan gelombang baharu COVID-19 ketika GRS mengambil alih kerajaan berikutan pergerakan ‘bebas’ orang ramai sepanjang tempoh kempen.

Maka tidak menghairankan jika prestasi ekonomi negeri di bawah GRS selepas itu juga pada tahap yang rendah kerana masalah yang sama, COVID-19, malah situasi pandemik ketika kerajaan GRS lebih buruk apabila darurat COVID-19 diisytiharkan pada Januari 2021 hingga Ogos tahun yang sama.
Aktiviti ekonomi terjejas, malah operasi kerajaan juga terhad disebabkan kekangan yang dikenakan menerusi pengisytiharan darurat, hingga menyaksikan kadar KDNK Sabah pada masa itu hanya RM79 bilion, tapi agak baik berbanding catatan KDNK pada 2020.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pernah menjelaskan kerajaan pimpinannya bermula dengan tempoh yang getir disebabkan pandemik COVID-19, malah beliau sendiri menjadi mangsa virus berkenaan hingga terpaksa dikuarantin di hospital.
Tumpuan kerajaan pada masa itu lebih terarah kepada soal kebajikan rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19, mengagihkan bantuan makanan dan mengurus mereka yang dijangkiti virus agar tidak merebak.
Namun, di sebalik kekangan akibat pandemik, penutupan pintu masuk negeri, pusat pelancongan dan bermacam lagi aktiviti ekonomi, kerajaan GRS berupaya membangkitkan semula kedudukan ekonominya apabila merekodkan peningkatan KDNK yang baik kepada RM82.1 bilion pada 2022.
Seterusnya, KDNK Sabah meningkat lagi kepada RM83.2 bilion pada 2023, manakala pada 2024 KDNK Sabah diunjur mencecah RM84.9 bilion, membuktikan ada peningkatan positif terhadap prestasi ekonomi di bawah pentadbiran kerajaan GRS.
Itupun hanya selepas 2022 dengan tempoh pemerintahan berbaki kira-kira tiga tahun, barulah kerajaan GRS dapat mengatur pelbagai perancangan selepas pandemik untuk memulihkan ekonomi yang buktinya sudah mula kelihatan ketika ini dan dijangka menjadi jauh lebih baik lagi jika GRS meneruskan pentadbiran negeri selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
Meskipun nilai KDNK sebenar adakalanya menunjukkan angka yang lebih rendah berbanding unjuran yang dibuat pakar ekonomi, setidak-tidaknya graf ekonomi Sabah masih menunjukkan pertumbuhan KDNK yang positif sejak berakhirnya pandemik COVID-19, bermula kira-kira tiga tahun lalu.
Justeru, dakwaan pembangkang, khususnya Warisan kononnya prestasi ekonomi Sabah di bawah kerajaan GRS merosot jika dibandingkan ketika dua tahun pentadbiran mereka pada 2018 dan 2019 adalah tidak wajar jika diambil kira situasi semasa ekonomi Sabah yang terjejas teruk akibat pandemik.
Warisan mengambil alih kerajaan pada 2018 dalam situasi ekonomi negeri yang agak baik hasil perancangan kerajaan BN sebelum itu yang sudah tentu membolehkan mereka menuai prestasi ekonomi yang baik ketika mentadbir negeri.

Berbeza ketika GRS mengambil alih kerajaan daripada Warisan, mereka menyerahkan kuasa ketika keadaan ekonomi merosot, lebih-lebih lagi tanpa perancangan pembangunan ekonomi yang jelas ketika dua tahun lebih pentadbirannya.
Atas sebab itu, perbandingan yang dibuat Warisan bagi menggambarkan kononnya ekonomi negeri ketika ini jauh ketinggalan berbanding ketika pentadbirannya adalah tidak wajar dan tidak tepat.
Jika faktor ekonomi dijadikan sandaran Warisan untuk menunjukkan ‘kebaikan’ kerajaan pimpinannya sebelum ini, persoalannya kenapa kerajaan yang dibina parti itu tumbang di tangan rakyat pada PRN16, malah Warisan juga kehilangan banyak kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022, termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Darell Leiking yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Penampang.
Rakyat Sabah perlu yakin bahawa catatan KDNK negeri akan terus meningkat di bawah kerajaan GRS dan tidak mustahil KDNK Sabah pada tahun ini mampu melonjak melebihi RM85 bilion dan mungkin mengatasi catatan yang dibanggakan Warisan pada 2018 dan 2019.
Apa yang jelas, GRS bukan saja berjaya memulihkan ekonomi Sabah yang terjejas akibat pandemik COVID-19, malah membina asas ekonomi negeri yang positif menerusi perancangan yang teliti untuk pertumbuhan ekonomi lebih baik pada tahun-tahun mendatang.
Meskipun berdepan banyak cabaran, GRS pasti berupaya membawa Sabah lebih maju dan mampu bersaing dengan negeri lain yang lebih ke hadapan jika terus diberi mandat pada PRN17, sejajar iltizam pemimpinnya untuk mencorak masa depan Sabah yang lebih baik dan menyelesaikan segala isu demi rakyat dan negeri.
Penulis merupakan pemerhati politik yang hanya mahu dikenali dengan nama pena Salman Halus, tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Info X