KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyifatkan kenyataan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai penghapusan hutang pinjaman pendidikan yang ditanggung anak Sabah sebagai janji kitar semula yang dibungkus cantik menjelang pilihan raya.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata hasrat Ahli Parlimen itu mahu menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Pinjaman Yayasan Sabah hanya diulang semula.
Katanya, bekas Ketua Menteri Sabah itu tidakpun melaksanakan perkara itu ketika beliau memegang kuasa dari 2018 hingga 2020.
“Rakyat Sabah bukan pelupa. Rakyat Sabah bukan mudah dipujuk dengan janji kitar semula yang dibungkus indah menjelang pilihan raya.
“Kenyataan Presiden Warisan kononnya mahu melupuskan pinjaman pendidikan termasuk PTPTN dan Yayasan Sabah serta menawarkan biasiswa penuh kepada anak-anak Sabah, hanyalah satu lagi skrip politik usang, diulang semula untuk kesekian kalinya apabila tiba musim undi.
“Sedarkah beliau, sewaktu memegang tampuk kuasa sebagai Ketua Menteri dari 2018 hingga 2020, tidak ada satu dasarpun yang menggambarkan kesungguhan terhadap pembelaan pendidikan anak Sabah?
“Tidak ada pelupusan hutang. Tidak ada dermasiswa baharu. Tiada dana khas untuk mahasiswa luar negeri. Yang ada hanyalah retorik demi retorik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Sebelum ini, Shafie dilaporkan berjanji partinya akan melupuskan atau membayar balik pinjaman pendidikan termasuk PTPTN apabila Sabah mencapai kekuatan kewangan di bawah kepimpinannya.
Shafie berkata, rancangan itu akan merangkumi pinjaman pengajian Yayasan Sabah dan hutang PTPTN yang ditanggung graduan dari negeri ini dan sebagai ganti, biasiswa akan diberi kepada anak Sabah yang melanjutkan pengajian di universiti jika negeri mempunyai dana yang mencukupi.
Pelupusan itu katanya merangkumi hutang pinjaman pendidikan Yayasan Sabah yang ditanggung oleh pegawai kerajaan, sama ada yang masih berkhidmat atau sudah bersara, manakala graduan yang dibebani hutang PTPTN juga akan diselesaikan pinjaman.
Mengulas lanjut, Nizam berkata Shafie membawa semula janji manis apabila berada di kerusi pembangkang dan tidak lagi berkuasa.
“Tapi kini, setelah tidak lagi berkuasa dan berada di kerusi pembangkang, beliau datang semula membawa janji manis yang sudah basi. Rakyat Sabah tidak mudah dibeli dengan janji bulan dan bintang,” katanya.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas menegaskan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor tidak menjanjikan ‘mimpi’, sebaliknya menunjukkan hasil dan membuktikan usaha yang dilaksanakan.
Katanya, pelbagai inisiatif pendidikan disediakan, antaranya Dana Bantuan Pendaftaran IPT untuk anak Sabah dari keluarga B40 dan Dermasiswa Sabah Maju Jaya yang membuka lebih banyak peluang ke menara gading.
Turut dilaksanakan, katanya ialah penambahan peruntukan Yayasan Sabah demi biasiswa dan bantuan pendidikan yang lebih luas serta pembangunan sekolah daif di luar bandar sebagai bukti keprihatinan luar kota.
“Kita juga menyediakan inisiatif khas untuk mahasiswa Sabah di luar negeri, ia sesuatu yang tidak pernah dibuat semasa Warisan berkuasa.
“Ini bukan cerita dongeng. Ini bukan sekadar cakap-cakap kedai kopi. Ini komitmen kerajaan GRS terhadap masa depan anak-anak Sabah.
“Ia dilakukan dengan penuh tanggungjawab fiskal, tanpa menjual mimpi palsu atau mengeksploitasi isu hutang mahasiswa untuk modal politik murahan.
“Kami menyeru rakyat Sabah, khususnya anak muda agar tidak terpedaya dengan politik populis yang hanya aktif bila pilihan raya semakin hampir.
“Jangan biarkan masa depan kita digadai oleh mereka yang hanya hadir bila perlukan undi. Pendidikan bukan alat propaganda, ia amanah untuk membina generasi akan datang,” katanya.
Nizam berkata, kerajaan GRS akan terus bekerja dan memberi, bukan berjanji dan memancing simpati kerana rakyat Sabah berhak untuk terus maju, bukan mundur kerana terpedaya janji lama dalam bungkusan baharu. – Info X