Search

KeKPAS mohon dana bina semula Dewan Masyarakat KK

August 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) akan memohon dana daripada kerajaan negeri bagi membina semula Dewan Masyarakat Kota Kinabalu yang musnah akibat kebakaran pada 29 Julai lalu.

Menterinya, Datuk Seri Christina Liew, berkata sisa bangunan yang tidak musnah dalam kebakaran itu akan dikekalkan berikutan kepentingan bangunan itu sebagai tempat bersejarah dan ada nilai kebudayaan.

Katanya, sejak dibuka pada 1958, Dewan Masyarakat Kota Kinabalu menjadi lokasi pelbagai acara termasuk program kerajaan, festival budaya, libat urus komuniti, kejohanan sukan, muzikal, ratu cantik dan aktiviti belia serta badan bukan kerajaan (NGO).

Christina meninjau kerosakan Dewan Masyarakat Kota Kinabalu selepas terbakar.

“Kita tidak mahu kehilangan semua struktur warisan yang sangat bernilai ini. Berdasarkan rekod Jabatan Muzium Sabah, Dewan Masyarakat Kota Kinabalu dijadikan bangunan warisan kebudayaan dari 1999 hingga 2017.

“Pada 2017, ia diisytiharkan sebagai bangunan warisan negeri mengikut Enakmen Warisan Negeri 2017,” katanya selepas meninjau keadaan dewan berkenaan, baru-baru ini.

Beliau diiringi Setiausaha Tetap KePKAS, Datuk Josie Lai; Pengarah Jabatan Muzium Sabah, Abd Arif Hamid dan Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) (Sektor Pengurusan Kewangan), Victor Gerard Kuasi.

Christina yang juga Pengerusi Majlis Warisan Negeri turut mengarahkan supaya sisa bangunan yang rosak akibat kebakaran itu dibersihkan segera, selain dipagar atas faktor keselamatan.

Dewan Masyarakat Kota Kinabalu berusia lebih 60 tahun sebelum terbakar pada 29 Julai 2025.

“Kita tidak mahu ada yang dapat kecederaan, terutama kanak-kanak dan warga emas,” katanya. – Info X