KOTA KINABALU: Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman audio perbualan dengan anaknya kepada polis petang ini.
Peguam mewakili keluarga Zara dalam satu kenyataan pagi ini berkata, anak guam mereka, Noraidah Lamat akan menyerahkannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
“Bagi membantu melengkapkan siasatan polis, anak guam kami iaitu Puan Noraidah binti Lamat iaitu ibu kepada Zara akan menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman-rakaman audio perbualan telefon di antara dia dan Zara kepada polis pada petang ini di ibu pejabat polis daerah Kota Kinabalu di Kepayan,” katanya.
Peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah turut menyatakan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara yang telah mengembalikan laporan penuh siasatan awal berkaitan kematian Allahyarhamah Zara Qairina kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, pengembalian laporan itu berserta arahan berhubung beberapa perkara tertentu untuk dilengkapkan sebelum mengambil tindakan lanjut adalah selaras dengan salah satu daripada empat perkara yang dipohon pihaknya dalam surat bertarikh 5 Ogos 2025 kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
“Kami berharap tiga perkara ini telah dimasukkan dalam arahan yang dimaksudkan di atas, iaitu pertama penyiasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman.
“Kedua, penggalian semula kubur Zara agar satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian, dan ketiga satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara,” katanya. – Info X