KOTA KINABALU: “Beri sokongan dan doa kepada Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.”
Itu harapan peguam yang mewakili ibu arwah, Hamid Ismail, yang turut merayu kepada orang ramai supaya tidak terus menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu emosi ibu mangsa serta menjejaskan siasatan pihak berkuasa.
“Kami berharap netizen dapat memberi kata-kata semangat dan sokongan kepada ibu Zara, kerana beliau amat memerlukan kekuatan dan doa daripada kita semua,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.
Menurut beliau, sejak tragedi itu berlaku, ibu Zara mengalami tekanan emosi apabila dihujani panggilan dan mesej bertubi-tubi, bukan sahaja daripada kenalan, malah individu tidak dikenali termasuk pempengaruh media sosial.
“Ibunya sihat dari segi fizikal, tetapi emosinya terganggu. Dari awal kes ini, beliau tidak putus-putus dihubungi orang yang bertanya khabar dan mengenai kejadian.
Bertanya khabar itu tidak mengapa, tapi apabila ditanya tentang kes, itulah yang mengganggu emosinya,” jelasnya.
Hamid memaklumkan bahawa ibu Zara kini hanya akan hadir ke balai polis untuk memberi keterangan dengan ditemani wakil NGO atau rakan rapat, dan hanya peguam dibenarkan menjadi saluran rasmi penyampaian maklumat kepada umum.
“Ibu Zara sendiri telah memohon supaya semua pertanyaan berkaitan kes disalurkan hanya melalui saya.
“Jika ingin bertanya tentang kes, tolong jangan tanya terus kepada beliau kerana beliau masih dalam tekanan. Jika beliau perlu ke balai polis, beliau akan hadir bersama NGO, manakala jika di Sipitang, beliau akan ditemani rakan rapat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa ibu Zara tidak membenarkan pempengaruh datang ke rumah, namun ada dalam kalangan mereka yang masih tidak menghormati permintaan itu
“Saya berharap orang ramai menghormati privasi dan perasaan ibu Zara,” katanya.
Hamid turut menyuarakan kebimbangan terhadap lambakan maklumat palsu di media sosial yang boleh menyebabkan tumpuan siasatan pihak polis terpesong.
“Setakat ini, belum ada saksi yang melihat kejadian sebenar. Ada yang kata berlaku jam 3 pagi, ada kata jam 4 pagi.
“Kita tidak tahu apa sebenarnya berlaku, adakah arwah membunuh diri atau dibunuh? Jika membunuh diri, adakah kerana buli mental? Atau mungkin dia ditolak?”
Tambah beliau, bukti utama seperti pakaian yang dipakai oleh arwah pada malam kejadian baru sahaja diambil oleh polis minggu ini.
“Turut diserahkan ialah telefon bimbit ibu Zara yang mengandungi rakaman audio perbualan antara mereka, yang dijangka dapat membantu siasatan,” katanya.
Mengenai tindakan undang-undang terhadap pihak yang melanggar privasi keluarga, Hamid berkata perkara itu masih belum difikirkan namun tidak menolak kemungkinan tersebut sekiranya gangguan terus berlaku.
“Kami hanya mahu siasatan dilaksanakan dengan telus dan menyeluruh. Inkues perlu diadakan.
“Sama ada keputusan siasatan nanti memihak kepada teori buli atau sebaliknya, kami akan menerima.
“Yang paling penting, keadilan ditegakkan,” katanya. – Info X