LABUAN: Seorang suami sanggup memukul isterinya hingga parah dalam kejadian di Kampung Tanjung Aru, di sini, semalam.
Malah, lelaki itu turut memukul anak lelakinya berusia 10 tahun hingga mengalami koyakan serius di pipi kiri selepas dipukul menggunakan botol minuman keras.
Timbalan Ketua Polis Labuan, Deputi Superintendan Robin@ Ridzuan Ismail berkata, suspek warga India berusia 34 tahun yang juga suami kepada mangsa bertindak agresif selepas berlaku pertengkaran, pada jam 1.25 pagi.
“Suspek memukul mangsa berusia 38 tahun menggunakan sebotol minuman keras hingga menyebabkan mangsa (isteri) cedera di hidung, mulut dan belakang kepala.
“Manakala anak lelakinya mengalami koyakan serius di bahagian pipi kiri dan kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Labuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan berjaya menahan suspek pada jam 8 malam hari yang sama.
“Suspek ditahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah. Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat
“Polis memandang serius sebarang bentuk keganasan rumah tangga dan tidak akan berkompromi terhadap pelakuan jenayah yang membabitkan penderaan fizikal ke atas golongan wanita dan kanak-kanak,” katanya. – Info X