Search

Kubur Zara digali semula petang ini, proses dapatkan perintah di IPD Papar

August 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Permohonan perintah menggali kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan didengar pada jam 1 hingga 1.30 tengah hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

Peguam keluarga Zara Qairina Mahathir, dalam satu kenyataan berkata penggalian kubur Allahyarham akan dilakukan petang ini setelah perintah diperolehi.

“Doakan perjalanan semua perkara dimudahkan Allah SWT,” katanya.

Semalam, Jabatan Peguam Negara mengarahkan agar kubur Allahyarham Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah.

Jabatan itu berkata ia adalah antara beberapa arahan yang disertakan setelah laporan penuh siasatan awal kes kematian Zara dikembalikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Keluarga arwah sebelum ini meminta agar kubur Zara digali semula bagi membolehkan bedah siasat jenazah dijalankan untuk melengkapkan siasatan pihak berkuasa. – Info X