Search

PDRM sahkan laporan siasatan kes Zara sudah dinilai Peguam Negara

August 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan laporan siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir sudah diteliti dan dinilai Jabatan Peguam Negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk M Kumar dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata dapatan penilaian itu terdapat keperluan untuk menggali semula kubur Zara.

Katanya, ia bagi membolehkan prosedur bedah siasat ke atas jenazah arwah Zara dilakukan.

“Ianya bertujuan memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara.

“Aturan prosedur bedah siasat dan menggali semula akan dibuat dengan kadar segera berpandukan Seksyen 331 dan Seksyen 335 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Beliau berkata, PDRM menegaskan keadilan akan sentiasa ditegakkan dan siasatan yang dijalankan adalah mengikut lunas undang-undang, fakta dan keterangan yang diperolehi.

“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara dalam tempoh terdekat,” katanya. – Info X