KOTA KINABALU: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif menafikan dakwaan mengatakan anaknya terbabit dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Memetik laporan BH Online pada Sabtu, EXCO Agama yang juga EXCO Pendidikan Sabah itu berkata penafian itu dibuat selepas beliau membaca satu muat naik di media sosial mengatakan terdapat seorang pelajar bernama Farisha yang didakwa sebagai anak beliau terbabit dalam kes itu.
“Saya tidak mempunyai anak yang bernama sedemikian dan juga tidak ada anak yang belajar di sekolah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Roadshow Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) bersama mahasiswa Sabah di Pusat Konvensyen Bangi Avenue, di Bangi, Selangor, pada Sabtu.
Dalam insiden pada 16 Julai lalu, Zara Qairina yang belajar di Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha (TDM) Limauan, Kinarut ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolah itu.
Dia dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth dan disahkan meninggal dunia sehari selepas itu.
Kes itu didakwa membabitkan elemen buli dan tular di media sosial kononnya membabitkan beberapa anak VIP dan individu berpengaruh.
Mohd Arifin berkata, beliau ada melawat Zara Qairina ketika dirawat di hospital dan bersama Ketua Pengarah Pendidikan dan rombongan menziarahi ibu pelajar berkenaan sebelum ini.
Katanya, selepas empat hari Zara Qairina meninggal dunia, beliau bersama rakan rombongan dari Yayasan Sabah dan wakil Rakyat Sindumin turut hadir menziarahi keluarga Allahyarhamah di Sipitang bagi menyampaikan salam daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kita tunggu hasil siasatan polis dan kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak berhubung apa juga yang berlaku membabitkan pelajar berkenaan.
“Kita harap siasatan terbuka terus diadakan demi keadilan pelajar berkenaan,” katanya seperti dilaporkan BH Online. – Info X