SIPITANG: Jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang digali semula hari ini selepas dikebumikan pada 17 Julai lalu dikatakan masih utuh dan dalam keadaan baik.
Perkara itu diakui Imam Rawatib Masjid Haji Hashim Pekan Sipitang, Amani Azral yang turut menyaksikan proses penggalian semula kubur dan mengeluarkan jasad arwah Zara.
Sebelum itu, viral video yang dikongsi netizen di media sosial mengatakan ibu Allahyarham Zara melihat jasad anaknya masih dalam keadaan baik dan utuh.
Video itu memaparkan Amani yang mengiyakan apa dikatakan oleh individu yang menyebarkan video terbabit berhubung keadaan jasad Zara.
Ketika dihubungi, Amani berkata, ramai yang menyaksikan keadaan jasad arwah seperti dikatakan ibu Allahyarham Zara dan beliau adalah antara yang melihatnya sendiri.
“Betul dan bukan saya seorang saja yang menyaksikannya, ramai lagi, ada polis, pegawai dari JHEAINS Sipitang, imam-imam dan ada dari JAKIM juga,” katanya.
Terdahulu, penggalian semula kubur Allahyarham Zara Qairina di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, di sini, mengambil masa lebih satu jam sebelum selesai pada kira-kira jam 7.31 malam selepas dimulakan pada jam 6.04 petang.
Peguam keluarga arwah, Hamid Ismail, ketika ditemui berkata jenazah Allahyarham Zara dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu bagi proses bedah siasat yang akan dijalankan pada jam 9 pagi esok.
Katanya, proses penggalian kubur arwah berjalan dengan lancar dan jenazah selamat dikeluarkan sebelum dimasukkan ke kenderaan jenazah untuk dibawa ke Unit Forensik HQE.
Proses penggalian kubur Allahyarham disaksikan antaranya oleh ibu bapa Zara dan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali dari Mahkamah Majistret Sipitang. – Info X