KOTA KINABALU: Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir menafikan suara jeritan meminta tolong dalam sebuah video yang viral adalah suara arwah.
Hamid Ismail, berkata perkara itu adalah fitnah dan beliau meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan perkara seumpama itu.
“Ada tular di TikTok tentang video perempuan menjerit-jerit, itu bukan Zara. Netizen jangan sebar perkara fitnah, kita tidak mahu ada orang difitnah.
“Sokonglah ibu Zara yang emosinya sedang tertekan ketika ini,” katanya kepada media di perkarangan Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini, pada Ahad.
Sebelum ini, satu video yang hanya mengandungi suara perempuan menjerit-jerit meminta tolong dikaitkan dengan kes kematian Zara, tular di media sosial.
Hamid sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan meminta pengguna media sosial menghentikan penularan spekulasi, gambar, video dan maklumat peribadi pelajar sekolah yang dikaitkan dengan kes kematian Zara.
Pada Rabu lalu, Hamid bersama rakan guamannya, Shahlan Jufri turut meminta agar semua bahan yang dimuat naik di media sosial itu dipadam.
“Kepada mereka yang telah melakukan penyebaran di atas, kami memohon agar memadam video dan gambar tersebut. Spekulasi hanya menambah tekanan dan kesedihan kepada anak guam kami,” katanya.
Mereka turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kes Zara supaya menyalurkan maklumat kepada polis untuk siasatan.
Dalam kenyataan itu, Hamid dan Shahlan menyenaraikan beberapa perkara tular di media sosial yang disifatkan tidak wajar dan minta dihentikan, termasuk video seorang wanita yang menceritakan mengenai Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh. – Info X