KOTA KINABALU: Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengakui proses siasatan pihak berkuasa dalam kes kematian pelajar itu kali ini dijalankan secara telus.
“Ya, memang telus,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada proses siasatan kali ini telus atau sebaliknya.
Hamid Ismail ditemui di perkarangan Hospital Queen Elizabeth (HQE) ketika menunggu proses bedah siasat jenazah Zara yang bermula pada kira-kira jam 11 pagi tadi.
Proses bedah siasat itu dikendalikan Pakar Perunding Patologi Forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor bersama Pakar Patologi HQE, Dr Jessie Hiu dan dua orang doktor.
Selain itu, katanya rakan guamannya, Shahlan Jufri turut memerhati proses bedah siasat atas permintaan keluarga.
Katanya, seorang jurugambar polis bersama dua anggota polis turut memerhati proses bedah siasat ke atas jenazah arwah Zara.
Ditanya mengenai proses bedah siasat itu, beliau yakin ia dapat disiapkan pada hari ini, namun tidak mengetahui berapa lama prosedur itu dilaksanakan.
Katanya, setelah selesai proses bedah siasat, Dr Jessie akan memaklumkan kepada keluarga arwah Zara mengenai hasil penemuan mereka.
Jika didapati ada unsur jenayah dalam bedah siasat itu, katanya laporan yang lebih rapi akan dibuat dalam kes itu.
“Itu akan dimaklumkan oleh Dr Jessie. Mungkin ia hanya ‘preliminary findings’ tetapi jika ada unsur jenayah, laporan bedah siasat yang lebih rapi akan dibuat.
Sebelum bedah siasat, katanya jenazah arwah Zara turut dibuat imbasan CT dan ia adalah imbasan yang kedua selepas imbasan sebelum pengebumian kira-kira tiga minggu lalu.
Katanya, kedua-dua imbasan itu akan dihantar kepada pakar di Semenanjung untuk dibuat perbandingan.
“Hasil bedah siasat akan diserahkan kepada kami secara rasmi, dan selepas selesai, jenazah akan dibawa balik ke Sipitang untuk pengebumian,” katanya. – Info X