Search

Kes Zara: Peguam akan mohon inkues jika keluarga tidak puas hati keputusan bedah siasat

August 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan memohon diadakan inkues jika keputusan bedah siasat yang dijalankan ke atas jenazah arwah tidak memuaskan hati keluarga.

Peguam Shahlan Jufri berkata, ketika ini laporan bedah siasat yang lengkap belum ada memandangkan proses itu baru siap pada jam 7.30 malam tadi setelah dijalankan dari jam 11 pagi pada Ahad.

Katanya, inkues juga tidak akan diminta jika ada suspek yang dituduh dalam kes itu.

“Post-mortem report itu sekarang yang lengkap belum ada. Yang lengkap mahu disediakan.

“Cuma, sekiranya kami tidak berpuas hati, ahli keluarga tidak berpuas hati dengan post-mortem, kita boleh minta inquest. Itu yang paling nilai.

“Sekiranya ada suspek dituduh, jadi tidak ada lah inquest. Kalau ada kena tangkap, kena tuduh, tidak adalah inquest,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berharap ada suspek yang akan dituduh dalam kes itu, namun perkara itu diserahkan kepada polis sebagai pihak yang paling tepat untuk menjawab.

“Bagi pihak peguam dan ahli keluarga, memang kami berharap ada suspek yang ke depan, yang diremankah, yang dibawa ke depan,” katanya.

Katanya, jika inkues dilaksanakan, ia akan dikendalikan oleh pasukan khas.

Sementara itu, Shahlan turut menjelaskan isu bedah siasat yang tidak dilaksanakan sebelum jenazah arwah Zara dikebumikan pada 17 Julai lalu.

Katanya, laporan yang mendakwa ibu Allahyarham tidak mahu bedah siasat dijalankan adalah tidak tepat dan tidak sepatutnya timbul.

“Saya ingat balik, saya membaca satu petikan di akhbar mengatakan ibu arwah sendiri yang tidak mahu post-mortem dibuat. Tidak, tidak, itu tidak.

“Sebab secara mudahnya, pihak yang berkaitan dan yang berautoriti tahu apa tugas mereka. Kalau sekiranya ada kematian seperti itu, pihak berautoriti, untuk salahkan ibu, salah. Untuk salahkan ibu buat post-mortem, itu salah,” katanya. – Info X