LAHAD DATU: Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya parah selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan dengan dua kenderaan di Kilometer 80, Jalan Lahad Datu – Tungku (Felda Sahabat 4), di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang maut iaitu lelaki berusia 21 tahun warga Filipina, manakala pemboncengnya lelaki berusia 19 tahun, juga warga Filipina cedera parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan awal mendapati sebuah Perodua Alza dipandu lelaki tempatan berusia 49 tahun dari arah Tungku menuju Cenderawasih bertembung dengan motosikal Honda EX5 yang datang dari arah bertentangan.
“Motosikal dipercayai terjatuh dan terseret ke lorong bertentangan sebelum dilanggar Perodua Alza. Akibat hentaman, penunggang dan pembonceng tercampak berhampiran garisan berkembar.
“Tidak lama kemudian, sebuah Proton Saga dipandu lelaki warga Indonesia berusia 37 tahun dari arah sama dengan Perodua Alza merempuh motosikal itu hingga terseret ke bahu kanan jalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua pemandu kereta tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang awam yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
Dzulbaharin turut mengingatkan pengguna jalan raya agar memandu dan menunggang berhemah bagi mengelakkan kemalangan maut. – Info X