Search

Hutang RM1 bilion: Warisan hanya lengkapkan dana dikumpul kerajaan BN – Masidi

August 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dakwaan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengatakan kerajaan pimpinannya pada 2019 berjaya membayar hutang kerajaan terdahulu sebanyak RM1 bilion adalah tidak tepat.

Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, sebaliknya berkata kerajaan pimpinan Warisan pada masa itu hanya melengkapkan jumlah wang sedia ada yang dimasukkan dalam Kumpulan Wang Amanah Bagi Bayaran Balik Bon atau Singking Fund.

Katanya, dakwaan bekas Ketua Menteri itu yang mahu menunjukkan bahawa kerajaan pimpinannya sebelum ini sebagai pengurus kewangan yang baik, sebenarnya bertentangan dengan fakta yang sebenar.

“Ketua pembangkang, Datuk Seri Shafie Apdal berulang kali mendakwa bahawa pada 2019, pentadbirannya berjaya membayar RM1 bilion hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

“Dakwaannya itu bertujuan untuk menunjukkan bahawa pentadbirannya adalah pengurus kewangan yang baik, tapi fakta sebenar menyatakan sebaliknya.

“Bon yang menjadi persoalan ialah Bon Kerajaan Negeri Sabah (2014/2019) yang dikeluarkan pada Disember 2014 ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN),” katanya menerusi satu kenyataan, di sini.

Masidi berkata, pada masa itu
Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan syarat bagi pengeluaran bon, iaitu kerajaan negeri mesti mewujudkan Kumpulan Wang Amanah Bagi Bayaran Balik Bon atau Singking Fund bagi memastikan pembayaran penuh hutang bon apabila ia matang.

Katanya, ia bagi mengelak pembayaran balik menjadi beban yang besar kepada kewangan negeri.

“Di bawah terma bon berkenaan, kerajaan negeri perlu menempatkan sebanyak RM200 juta ke dalam Singking Fund setiap tahun selama lima tahun, iaitu sehingga 2019.

“Ketika Warisan mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018, sebahagian besar dana yang diperlukan untuk pembayaran balik sudah disimpan.

“Malah, pada tahun berikutnya sudah ada RM1 bilion dalam Singking Fund yang membolehkan kerajaan negeri membayar sekali gus untuk menyelesaikan hutang bon itu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya adalah tidak tepat mengatakan bahawa bayaran berkenaan adalah hasil daripada tindakan khas oleh kerajaan Warisan.

Sebaliknya, Masidi berkata bayaran itu adalah hasil daripada perancangan kewangan berhemah yang dilaksanakan pentadbiran terdahulu sebelum bon berkenaan matang.

“Saya sebenarnya sudah menjelaskan isu yang sama ketika ucapan penggulungan saya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Julai 2024.

“Pentadbiran semasa komited memastikan bahawa orang awam diberikan maklumat yang tepat dan jelas mengenai kewangan negeri dan tidak akan membenarkan kenyataan yang mengelirukan dibiarkan begitu saja,” katanya. – Info X