KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman mengarahkan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian tragis Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Istana Seri Kinabalu pada Isnin, Tun Musa mahu siasatan setelah selesai bedah siasat ke atas jenazah arwah Zara semalam dilaksanakan dengan penuh teliti.
“Bedah siasat telah dilakukan semalam dan siasatan kini sedang dijalankan dan menunggu hasil bedah siasat tersebut.
“Siasatan ini mestilah dilaksanakan dengan penuh ketelitian, tanpa rasa takut atau pilih kasih, berlandaskan kepada kebenaran dan keadilan. Setiap aspek mesti disiasat sepenuhnya.
“Menuntut keadilan bukanlah satu bentuk pembalasan. Sebaliknya ianya adalah suatu perintah Allah SWT untuk melindungi yang lemah dan menghukum mereka yang bersalah,” jelas Istana Seri Kinabalu.
Dalam kenyataan yang sama, Istana Seri Kinabalu menyeru orang ramai, terutama pengguna media sosial supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan tuduhan tidak berasas atau menggalakkan teori konspirasi berhubung kes itu
Istana Seri Kinabalu menegaskan tindakan itu bukan saja boleh menggugat integriti siasatan malah boleh menyebabkan kesedihan yang lebih mendalam kepada keluarga Zara yang sedang berduka.
“Pihak Istana juga menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan dengan adil, serta berdiri seiring dengan keluarga Zara dalam mencari jawapan dan penyelesaian kes ini.
“Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan bersama seluruh rakyat di negara ini, merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Zara. Semoga keluarga Zara diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini,” katanya.
Sementara itu, Istana Seri Kinabalu berkata TYT Tun Musa turut menggalakkan umat Islam menghadiri Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri khusus untuk Allahyarhamah Zara yang diadakan di Masjid Bandaraya, di sini pada Khamis ini.
Majlis itu yang diadakan selepas solat Maghrib turut dilaksanakan secara serentak di semua masjid dan surau seluruh negeri.
Istana Seri Kinabalu berkata, TYT Tun Musa turut mengalu-alukan mereka yang bukan beragama Islam berdoa untuk Zara mengikut kepercayaan masing-masing.
“Keselamatan dan kebajikan anak-anak kita mestilah sentiasa menjadi keutamaan kita semua.
“Akhir sekali TYT Tun mendoakan semoga Allah SWT menempatkan Allahyarhamah Zara dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh serta memberikan kekuatan kepada kita untuk melindungi anak masing-masing bagi mengelakkan berulangnya tragedi seperti itu pada masa hadapan,” kata kenyataan Istana Seri Kinabalu. – Info X