KOTA BELUD: Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai dirempuh lori 10 tan dalam kejadian di lampu isyarat Lebak Moyoh, Jalan Kudat, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa warga emas berusia 63 tahun disahkan maut di lokasi akibat kecederaan parah.
Kejadian sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah premis berhampiran dan tular di media sosial menyaksikan kedua-dua kenderaan bergerak dari arah sama.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, hasil siasatan di lokasi mendapati, lori 10 tan yang dipandu lelaki berusia 60 tahun sedang melalui susur jalan keluar dari kiri ke kanan jalan.
Bagaimanapun katanya, lori berkenaan dipercayai tergesel motosikal mangsa sehingga menyebabkannya terjatuh di atas jalan.
“Kejadian menyebabkan penunggang motosikal mengalami kecederaan parah, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Shahrudin berkata, penunggang motosikal yang parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kota Belud yang turut hadir membantu di lokasi.
Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, Shahrudin menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan pihak polis.
Katanya, pengguna jalan yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil ke IPD Kota Belud bagi membantu siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu dak patuhi undang-undang jalan raya.
“Selain itu, pengguna jalan juga dinasihatkan supaya sentiasa memastikan kenderaan dalam keadaan baik,” katanya. – Info X