Search

PRN17: Formula kerjasama GRS-PH diteruskan – Hajiji

August 12, 2025

Info X Reporters

RANAU: Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersetuju untuk mengekalkan formula kerjasama sedia ada dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerjasama itu bagi memastikan hubungan erat dengan kerajaan Persekutuan dapat terus dikekalkan.

Jelasnya, sejarah telah membuktikan bahawa sesebuah kerajaan negeri memerlukan hubungan yang kukuh dengan kerajaan Persekutuan.

“Kita mahu hubungan yang erat dengan Kerajaan Persekutuan. Kita mahu kestabilan dan kita berharap rakyat memahami bahawa kita sedang melakukan yang terbaik untuk mereka, membawa kemakmuran kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pecah tanah Projek Bandar Baharu Paginatan di dewan terbuka Memorial Nunuk Ragang, dekat sini, pada Selasa.

Hajiji berkata, rekod pencapaian Kerajaan Negeri GRS-PH dalam membawa kemajuan kepada Sabah sudah terbukti.

“Kita mempunyai lebih 400 inisiatif di bawah agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan kira-kira 94 peratus daripadanya telah berjaya dilaksanakan,” katanya.

Hajiji berkata perkara itu bertentangan dengan dakwaan pembangkang yang menurutnya bertujuan menipu rakyat.

Katanya, Kerajaan GRS-PH telah meluluskan pelbagai program bantuan untuk pembangunan pendidikan negeri dan kesejahteraan rakyat yang tidak pernah dilakukanboleh mana-mana kerajaan negeri sebelum ini.

Hajiji bersalaman dengan orang ramai pada majlis pecah tanah bandar baharu Paginatan di Nunuk Ragang.

“Tahun ini saja kita memberi bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada hampir 100,000 golongan miskin tegar dan inisiatif ini akan diteruskan jika rakyat mengembalikan mandat kepada GRS-PH pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau turut berkata, Kerajaan Negeri GRS-PH berjaya mendapatkan penyertaan yang lebih besar dalam sektor minyak dan gas melalui pemeteraian bersejarah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas pada 2021.

Terdahulu, beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) komited meneruskan agenda menangani masalah kemiskinan bandar dan luar bandar di negeri ini melalui program pembangunan bandar baharu.

Beliau berkata, projek Bandar Baharu Paginatan yang telah lama dinantikan dijangka akan memacu ekonomi tempatan di kawasan itu, selaras dengan pelan pembangunanvSMJ yang intinya sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

Bandar baharu seluas 200 ekar yang terletak kira-kira 43 kilometer dari Ranau itu akan dibangunkan dalam lima fasa, membabitkan pembinaan pelbagai kemudahan penting termasuk pejabat kerajaan, kedai, perumahan kos rendah, dewan serba guna, perpustakaan, pusat kesihatan, pasar, balai polis dan balai bomba.

“Apabila siap kelak, penduduk di Paginatan tidak lagi perlu ke Ranau atau Telupid untuk berurusan dengan jabatan kerajaan,” katanya.

Hajiji juga memberi jaminan bahawa isu yang dihadapi rakyat di kawasan DUNbPaginatan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Datuk Abidin Madingkir akan diberi perhatian. – Info X