KOTA KINABALU: Sabah FC tetap optimis meskipun memulakan saingan musim baharu Liga Super 2025/2026 berdepan cabaran Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.
Ia berikutan prestasi baik pasukan tuan rumah itu ketika memulakan aksi pertama mereka yang menewaskan Imigresen FC 3-0 pada 9 Ogos lalu.
Jurulatih Sang Badak, Alto Linus, berkata beliau sedar KL City mempamerkan permainan yang baik dan menganggap bukan mudah bagi pemain Sabah menghadapi cabaran skuad lawan itu.
Namun, Alto masih optimis terhadap kemampuan skuad Sang Badak untuk mempamerkan aksi pertama mereka pada musim ini dengan berbekalkan strategi dan semangat musim baharu.
“Pertemuan ini bukanlah tugas mudah memandangkan KL City tampil dengan motivasi tinggi selepas mencatat kemenangan dalam aksi pertama mereka minggu lalu apabila membenam Imigresen FC 3-0.
“Lebih-lebih lagi, kelebihan beraksi di laman sendiri pasti memberi semangat tambahan kepada pasukan tuan rumah.
“Tapi, walaupun kita sedar mereka berada dalam prestasi baik, kita tetap optimis dan mempunyai perancangan serta strategi tersendiri untuk mengharungi perlawanan ini,” katanya, di sini.
Sabah FC, katanya mengekalkan sebahagian pemain musim lalu bermula dengan beberapa aksi pra-musim sebelum ini, dengan beberapa penambahan pemain baharu.
Sepanjang tempoh persiapan musim baharu, katanya pemain dapat menyesuaikan diri dengan cepat terhadap latihan dan corak permainan yang diterapkan oleh barisan kejurulatihan musim baharu ini.
Jelasnya, walaupun KL City memiliki pemain yang berkualiti seperti Sapawi Rashid dan Hidalgo pada musim ini, Sabah juga mempunyai tonggak yang baik berdasarkan pencapaian mereka pada musim lalu.
“Saya percaya pemain-pemain kita tahu apa yang perlu dilakukan untuk mengekang ancaman KL City. Fokus dan disiplin taktikal menjadi kunci utama kita pada malam ini,” katanya.
Sabah FC memulakan aksi Liga Super musim ini di gelanggang lawan, sebelum menerima kehadiran Kelantan The Real Warior FC dan Melaka FC di Stadium Likas, di sini, masing-masing pada 23 dan 29 Ogos ini.
Pasukan itu mengekalkan 15 pemain musim lalu bagi menghadapi musim baharu Liga 2025/2026 termasuk penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat dan Damien Lim serta lima pemain pertahanan iaitu Dominic Tan, Rawilson Batuil, Gabriel Peres (import), Daniel Ting dan Dines Rajasingam.
Turut dikekalkan pemain tengah, Stuart Wilkin, Gary Steven Robbat, Farhan Roslan dan pemain import Miguel Cifuentes.
Selain itu, turut kekal ialah penyerang Darren Lok, S Kumaahran dan Jafry Chew, manakala tiga pemain import baharu, Ajdin Mujagic (penyerang), Dean Pelekanos (tengah) dan Dane Ingham (pertahanan) mengukuhkan lagi kesebelasan utama Sabah FC. – Info X