KOTA KINABALU: Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, sekali lagi membidas kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkaitan isu bon RM1 bilion yang dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Warisan mengambil alih kerajaan pada 2018.
Beliau berkata, kenyataan bekas Ketua Menteri itu menimbulkan kekeliruan, seolah-olah pembayaran balik bon itu adalah satu pencapaian luar biasa pentadbiran Warisan dalam tempoh setahun, sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya.
Jelasnya, rekod menunjukkan caruman kepada Kumpulan Wang Amanah Bagi Pembayaran Balik Bon atau Sinking Fund itu sudah dibuat secara berperingkat mengikut jadual yang ditetapkan.
Katanya, caruman itu bermula RM2 juta pada 2016 berdasarkan pembentangan pada 2015, diikuti RM200 juta pada 2017 (dibentangkan pada 2016), RM400 juta pada 2018 (dibentangkan pada 2017) dan RM380 juta pada 2019 (dibentangkan pada 2018).
Jelasnya, baki sebanyak RM18 juta lagi diperolehi daripada faedah pelaburan dana berkenaan.
“Dakwaan bahawa Warisan perlu ‘mencari’ RM600 juta dalam masa beberapa bulan mengetepikan hakikat sebenar bahawa jadual pembayaran telah dirangka sejak 2014 dan dana yang diperlukan telahpun diperuntukkan sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan negeri berbilang tahun.
“Malah, semasa pentadbiran
Warisan, hanya satu pembayaran sebanyak RM380 juta yang dibentangkan, satu tanggungjawab yang akan dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan yang memegang tampuk kuasa pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Masidi menjelaskan akaun amanah itu bagi mematuhi syarat ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) agar Kerajaan Negeri menubuhkannya bagi bayaran balik bon atau Sinking Fund itu.
Katanya, ia bagi memastikan pembayaran penuh dibuat apabila Bon Kerajaan Negeri Sabah bernilai RM1 bilion (2014/2019) yang diterbitkan pada Disember 2014 itu matang pada 2019.
“Syarat ini dikenakan agar bayaran balik (bullet Payment) tidak menjadi beban kewangan yang berat kepada Kerajaan negeri, tanpa mengira siapa yang membentuk kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Masidi menyifatkan tuduhan Shafie yang mengatakan RM500 juta daripada bon itu dibelanjakan di negeri lain adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.
Katanya, dakwaan serius yang dibuat tanpa sebarang bukti kukuh itu jelas mengelirukan rakyat dan menjejaskan kepercayaan terhadap pengurusan kewangan negeri.
“Rekod rasmi jelas menunjukkan bahawa hasil bon itu digunakan sepenuhnya untuk program pembangunan di Sabah, RM544 juta bagi membayar balik bon pertama Kerajaan Negeri yang diterbitkan pada 2009.
“Baki RM456 juta lagi digunakan untuk membiayai program pembangunan negeri yang diluluskan dalam Belanjawan Negeri 2014,” katanya.
Jelasnya, pembayaran balik bon mengikut jadual adalah satu kewajipan mengikut undang-undang dan menjadi obligasi kontrak Kerajaan Negeri, bukan satu tindakan sukarela atau ihsan.
Katanya, disiplin dan struktur kewangan yang membolehkan pembayaran itu telah diwujudkan sejak 2014, bukannya pada 2018.
“Kenyataan awam berkenaan kewangan negeri mestilah berpaksikan dengan fakta yang didokumenkan, bukan angka terpilih atau naratif politik yang
menguntungkan pihak tertentu.
“Rakyat Sabah berhak mendapat maklumat yang telus, jelas, tepat dan benar,” katanya. – Info X