Search

Kes Zara: Pegawai penyiasat tidak patuhi prosedur siasatan, tindakan akan diambil – JSJ Bukit Aman

August 13, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pegawai penyiasat dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir tidak mematuhi prosedur sepatutnya apabila tidak memohon untuk menjalankan bedah siasat sebelum jenazah pelajar itu dikebumikan.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, M Kumar berkata pegawai terbabit sepatutnya memohon bedah siasat berikutan kematian Zara dalam keadaan yang mencurigakan.

Jelasnya, permohonan untuk menjalankan bedah siasat perlu dibuat walaupun ibu arwah Zara, 13 tidak mahu bedah siasat dijalankan seperti berlaku pada awal kes itu, bulan lalu.

“Walaupun terdapat persetujuan atau permohonan daripada ibu Zara yang menandatangani akuan supaya bedah siasat tidak dibuat, pegawai penyiasat sepatutnya buat permohonan untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media khas berkaitan perkembangan siasatan kes kematian Zara di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Berikutan itu, beliau berkata tindakan tegas akan dikenakan ke atas pegawai penyiasat kes Zara sebelum ini dan penyelianya atas sebab terdapat ketidakpatuhan prosedur siasatan.

Pasukan petugas khas dari JSJ Bukit Aman mengambil alih siasatan kes berkenaan sejak Isnin lalu selepas Jabatan Peguam Negara mengembalikan laporan awal siasatan polis berhubung kes itu pada minggu lalu.

Allahyarham Zara ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha pada 16 Julai lalu sebelum dilapor meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada hari berikutnya. – Info X