KOTA KINABALU: Bedah siasat yang dilakukan ke atas jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada Ahad lalu mendapati berlaku kecederaan otak yang teruk.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, hasil bedah siasat itu selari dengan diagnosis awal ke atas jenazah arwah sebelum ini.
Katanya, kecederaan teruk itu mengakibatkan kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak yang konsisten dengan kejadian jatuh.
“Bedah siasat pada 10 Ogos itu dihadiri tiga doktor, masing-masing seorang dari Hospital Serdang dan dua dari Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu.
“Kecederaan yang ditemui adalah selari dengan dapatan awal yang menunjukkan ia konsisten dengan insiden jatuh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan perkembangan siasatan kes kematian arwah Zara di Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Katanya, semua dapatan bedah siasat juga sudah dijelaskan kepada keluarga arwah Zara secara telus.
Pada Ahad lalu, pasukan pakar forensik mengambil masa kira-kira lapan jam bagi melakukan bedah siasat bagi melengkapkan siasatan mengenai punca kematian Allahyarham Zara.
Sebelum itu, pada Sabtu, kubur Zara di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang digali semula untuk bedah siasat jenazah dan kemudian disemadikan semula setelah selesai bedah siasat di HQE. – Info X