Search

Cekik, pukul, ugut bunuh isteri

August 14, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai mencekik, memukul dan mengugut bunuh isterinya dalam kejadian di rumah mereka, Selasa lalu.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu berlaku selepas pasangan terbabit dipercayai bertengkar.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata suspek, berusia 31 tahun itu mencekik dan menumbuk mangsa hingga menyebabkan bengkak di telinga kanan dan bahagian atas pipi.

“Suspek turut mengugut mangsa dengan kata-kata ancaman bunuh.

“Mangsa berusia 31 tahun kemudian membuat laporan polis pada jam 9.16 pagi semalam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan lelaki itu kira-kira jam 5 petang di kawasan parkir depan sebuah bank di bandar ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan keran melakukan ugutan jenayah.

Sementara itu, Champin menasihatkan mangsa keganasan rumah tangga supaya tidak berdiam diri dan segera membuat laporan kerana tindakan awal boleh menyelamatkan nyawa. – Info X